|
PM sendiri akan jelaskan -- Kenapa terpaksa bertindak memecat AnwarKUALA LUMPUR 6 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sendiri akan memberikan penjelasan kepada ahli-ahli UMNO kenapa beliau terpaksa bertindak memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatannya di dalam kabinet dan parti, sehari dua lagi. Setiausaha Agung UMNO, Datuk Sabbaruddin Chik berkata, penjelasan itu penting bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan ahli-ahli di peringkat akar umbi berhubung tindakan tersebut. ''Kita (ibu pejabat UMNO) akan panggil ketua-ketua bahagian dan timbalan, anggota Pergerakan Pemuda dan Wanita pada pertemuan yang akan diadakan secara tertutup di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Putra,'' katanya kepada Utusan ketika dihubungi di sini hari ini. Utusan bagaimanapun difahamkan pertemuan itu akan diadakan Selasa ini. Anwar dilucutkan jawatan daripada kabinet Dr. Mahathir Rabu lalu dan disingkirkan daripada UMNO sehari kemudian. Setakat ini belum ada penjelasan mengenai sebab-sebab pemecatan Anwar, kecuali afidavit polis yang mengaitkan penglibatannya dalam aktiviti seks yang melampau dan kemungkinan berlakunya pembocoran rahsia kerajaan kepada pihak luar. Semalam, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Yusof Noor berkata, Dr. Mahathir membuat keputusan melucutkan jawatan Anwar setelah Perdana Menteri menerima ''bukti kukuh yang sangat sukar ditolak''.Kata Dr. Yusof: ''maklumat itu setelah diselidiki terbukti mempunyai asas-asas yang kukuh dan munasabah.'' Menurut Sabbaruddin para pemimpin UMNO yang hadir dalam majlis itu dikehendaki menerangkan kedudukan sebenar berhubung penjelasan Dr. Mahathir itu kepada ahli-ahli di semua peringkat. Menurut Sabbaruddin, orang awam juga boleh memperoleh kedudukan sebenar isu (pemecatan Anwar) itu menerusi penerangan-penerangan yang akan disampaikan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri dan bahagian. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memburukkan lagi keadaan berkaitan isu pemecatan itu. Sebelum itu, Sabbaruddin ketika ditemui selepas satu majlis di sini melahirkan kekesalan terhadap tindakan Anwar membabitkan orang ramai, terutamanya pelajar dalam menghadapi masalahnya itu. ''Sebaiknya saya fikir dia tidak sepatutnya membawa masalah peribadi kepada orang ramai, khususnya kepada pelajar dan persatuan-persatuan lain,'' katanya selepas melancarkan Pesta Budaya Amal anjuran City Square dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur dan Majlis Kebajikan Masyarakat Selangor. Menurut Sabbaruddin, Anwar seharusnya merujuk kepada mahkamah jika tidak berpuas hati, tanpa perlu membabitkan orang lain dalam masalah yang dihadapinya. ''Buktinya hanya di mahkamah, jangan libatkan orang lain, kalau tak percaya mahkamah susahlah... kita harus percaya kepada mahkamah,'' katanya.Menyentuh mengenai gerakan reformasi yang sedang dilaungkan oleh Anwar, Sabbaruddin berkata: ''Anwar sepatutnya berbuat demikian semasa beliau dalam kerajaan dan bukannya semasa di luar kerajaan.'' |